Tuesday, 3 March 2015

Bengkel terbakar bersama 12 bot

Tuesday, 3 March 2015|08:57
Kota Tinggi: Sebanyak 12 bot musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel di Kampung Sungai Kapal, Pengerang, di sini, kelmarin, yang menyebabkan kerugian lebih RM600,000.
Kejadian kira-kira jam 3.50 petang disedari seorang pekerja bengkel yang terhidu asap sebelum mendapati api merebak ke bahagian lain termasuk ke kawasan menempatkan bot lama dan sedang dibaiki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Mohd Fadli Ismail berkata, lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dengan dibantu satu jentera bersama enam anggota dari pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Pengelih.
Katanya, berikutan kawasan menempatkan bot berkenaan dipenuhi lalang, api merebak dengan pantas dan bomba terpaksa mengambil masa untuk memadamkan api.
“Siasatan mendapati kerugian dianggar RM600,000 apabila bengkel dan 12 bot musnah.
“Ketika kejadian hanya ada seorang pekerja di bengkel itu kerana pekerja lain menghadiri majlis perkahwinan di Kota Tinggi,” katanya.
Menurutnya, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sumber : harian metro

No comments:

Post a Comment

Mesra Kota Tinggi © 2014