Istiadat Siram Tabal sempena Kemahkotaan Sultan Ibrahim Iskandar dijadualkan berlangsung mengikut adat tradisi Melayu di Pekarangan Bukit Bintang, Istana Besar, Johor Bahru, Sabtu ini.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, istiadat siram tabal atau mandi itu adalah acara simbolik untuk membersihkan diri dan jiwa Tuanku sebelum baginda memulakan tugas.
“Saya pasti rakyat sendiri tertanya-tanya mengapa kita adakan istiadat bersiram dan ditonton kaum kerabat.
“Sebenarnya, istiadat ini hanyalah simbolik untuk membersihkan diri dan jiwa seseorang supaya dapat menolak bala serta menentukan keselamatan pada masa akan datang.
“Kalau dilihat dari sudut agama, Islam menggalakkan kita mandi sebelum menjalankan tugas. Begitu juga adat Melayu,” katanya. Jelas beliau, Istiadat Siram Tabal atau ringkasnya disebut istiadat raja bersiram itu nanti akan dijalankan mengikut tradisi lama.
No comments:
Post a Comment