Wednesday, 18 March 2015

Berpantang maut sebelum ajal - Ayah dan seorang anak terselamat dalam kebakaran. #mesrakotatinggi

Wednesday, 18 March 2015|16:00

KOTA TINGGI 17 Mac - Bau hangit daripada tilam yang terbakar berjaya menyelamatkan dua beranak daripada mati rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumah sewa mereka di Kampung Kelantan, dekat sini pagi ini.

Badarudin, 11, yang terbau hangit dan melihat api mula marak di tempat tidurnya di sebuah bilik segera mengejutkan ayahnya, Mohd. Zom Mohd. Zahir, 45, dalam insiden pukul 1.40 pagi itu.
Bagaimanapun, usaha Mohd. Zom untuk memadamkan api de­ngan menyiram sebaldi air bukan sahaja tidak berhasil, malah menyebabkan semakin marak.
“Ketika itu saya sedang tidur, namun tiba-tiba dikejutkan oleh anak yang memberitahu ada api. Saya yang melihat api berhampiran kawasan tempat tidurnya cuba untuk memadam api itu dengan menyimbah sebaldi air tetapi tidak berjaya.

“Api semakin marak menyebabkan saya tidak berfikir panjang te­rus menarik tangan anak untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita di sini.
Lebih menyedihkan, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk dokumen pengenalan diri berikutan panik dengan kejadian itu.

Semasa kejadian, hanya dia dan Badarudin tinggal di rumah yang disewa sejak setahun lalu itu.

Akibat terhidu asap tebal, Badarudin yang menghidap asma kini dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pukul 1.54 pagi dan mengejarkan dua jentera dengan sembilan anggota untuk mema­damkan kebakaran.

“Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” kata­nya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment

Mesra Kota Tinggi © 2014