Monday 26 January 2015

#mesrakotatinggi - Sejarah nama "Kota Tinggi"

Monday 26 January 2015|11:06
Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor, Malaysia. Bandar Kota Tinggi terletak di laluan Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi lebih kurang 42 km dari bandaraya Johor Bahru. Dengan keluasan daerah Kota Tinggi kira-kira 3488.7 kilometer persegi, aktiviti ekonomi utama bagi daerah ini ialah perladangan seperti kelapa sawit, getah dan pertanian lain di samping terdapat kegiatan lain seperti perikanan yang terdapat di pesisiran pantai seperti di Tanjung Sedili. Aktiviti ekonomi yang lain ialah seperti perlombongan dan perniagaan.

Daerah Kota Tinggi terdiri daripada kawasan bandar, perkampungan Melayu tradisional serta kawasan rancangan tanah Felda. Terdapat juga petempatan orang asli di daerah ini.

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya berkunjung ke Kota Tinggi ialah Air Terjun Kota Tinggi yang terletak lebih kurang 16 km dari bandar Kota Tinggi. Sekiranya anda menyukai kehijauan hutan, Kota Tinggi juga mempunyai Hutan Lipur Panti. Selain daripada itu, sekiranya ingin melakukan aktiviti pendakian, Gunung Panti dan Gunung Muntahak boleh menjadi medan pertarungan. Pantai-pantai yang indah juga menggamit kehadiran pelancong. Antara pantai yang boleh dilawati ialah seperti Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar dan Tanjung Sedili. Jangan lupa berkunjung ke perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi, satu-satunya petempatan kaum ini di dunia.

Dari mana asal usul nama "Kota Tinggi" .

 Sejarah Kota Tinggi dipercayai bermuka pada tahun 1529,  daerah ini mula diterokai oleh Sultan Alauddin Riayat Syah II, pengasas kerajaan Johor yang memerintah dari tahun 1528 hingga 1564. Lokasi pertama yang diterokai baginda dan dijadikan pusat pemerintahan kerajaan Johor Lama adalah Pekan Tua yang sekarang dikenali sabagai Kampung Sungai Telor.
 
Nama Kota Tinggi mengambil sempena pembinaan lapan buah kota pertahanan yang dibina di "Tanah Tinggi"  oleh Sultan-Sultan Johor sepanjang persisiran Sungai Johor, iaitu Kota Kara (1529), Kota Sayong (1536), Kota Batu (1540), Kota Seluyut (1564), Kota Batu Sawar (1587) Kota Touhid (1623), Kota Tinggi (1685) dan Kota Panchor (1716).
 
Pada tahun 1688 nama Kota Tinggi mula disebut apabila  Sultan Mahmud Syah II (1685 - 1699).  mula menjadikan Kota Tinggi sebagai pusat pemerintahan iaitu apabila baginda dibawa berpindah dari Riau ke Kota Tinggi.
 
Berdasarkan peristiwa dan tarikh-tarikh itu (1528, 1623 dan 1688), tahun 1688 ialah tarikh yang wajar diterima sebagai tarikh Kota Tinggi dibuka dan lokasi berkenaan sekarang terletak dalam Kampung Makam.
 
Selepas tarikh-tarikh itu sehingga Negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Bandar Kota Tinggi melalui proses pembangunan yang pesat dan mnejadi Bandar ternama pada kedudukan sedia ada sekarang. Mercu tanda utama Bandar ini sekarang Dataran Kota, di Jalan Tun Sri Lanang.
 

No comments:

Post a Comment

Mesra Kota Tinggi © 2014