Monday, 6 July 2015

3 kali leher ditebuk walau beru berusia 4 tahun

Monday, 6 July 2015|13:53


KOTA TINGGI - Usianya baharu masuk empat tahun, namun sudah tiga kali lehernya ditebuk ekoran masalah saluran pernafasan sempit yang dialami selain sakit paru-paru kronik yang dihidapi sejak lahir.
 
Muhammad Aqiel Asyraaf, 4, juga tidak sebebas kanak-kanak lain yang boleh bermain di luar rumah, sebaliknya terpaksa berkurung kerana keadaan kesihatannya yang sangat sensitif terutama dengan habuk selain tidak boleh hidu asap.

Ibunya, Pertiwi Masiran, 42, berkata, anak bongsunya itu bernasib baik kerana penyakit yang dialami disedari awal ketika dia dilahirkan seterusnya dapat dirawat.
 
“Anak ketiga saya juga mengalami masalah kesihatan iaitu sakit jantung, tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia ketika usianya enam bulan kerana tidak sempat dirawat di hospital.

“Asyraaf sendiri terpaksa duduk di unit rawatan kecemasan selama setahun ekoran masalah jantung berlubang yang dialami selepas dilahirkan,” katanya.

Menurutnya, kini Asyraaf juga terpaksa bergantung hidup dengan bekalan oksigen daripada tangki khas yang perlu dibawa setiap kali berjalan ke luar rumah. 

Pertiwi berkata, dia tidak berani membawa anaknya berjalan di luar kerana bimbang kesihatannya.

“Dia mudah demam dan pernah juga mulutnya tiba-tiba biru gara-gara kesihatannya merosot,” katanya ketika menerima lawatan daripada wakil Kasut You sempena program U Care di kediamannya dekat Taman Sri Saujana, baru-baru ini.

Pertiwi menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM500 yang disampaikan Pengurus Kasut You cawangan Kota Tinggi, Tai Bee Chu. 

Hadir sama, Pengurus Pemasaran Kasut You Sdn Bhd, Nicky Mak.

Menurut ibu empat anak itu, dia bersyukur kerana terpilih menerima bantuan itu dan berterima kasih kepada Kasut You kerana memberikan sumbangan tersebut.

“Alhamdulillah, melalui sumbangan ini dapat meringankan beban kami untuk digunakan bagi membuat persiapan membeli barangan untuk menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.

Berita dan Gambar dari SInar Harian

No comments:

Post a Comment

Mesra Kota Tinggi © 2014