Tuesday 30 June 2015

Mesra Ramadhan, Memakmurkan Masjid

Tuesday 30 June 2015|06:30
Sejumlah RM26,000 nilai bantuan diagihkan kepada 130 ketua keluarga fakir miskin sekitar Kampung Mawai dekat sini sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Yayasan Mesra yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Beliau berkata, program tahunan itu bertujuan menyampaikan barangan keperluan seperti beras, minyak masak dan keperluan dapur bernilai kira-kira RM50 serta wang tunai RM150.

“Meskipun nilainya tidak seberapa tetapi ia cukup memberi kegembiraan kepada mereka yang menganggap sebagai ‘rezeki Ramadan’,” katanya kepada pembe­rita selepas merasmikan program Mesra Ramadan, Memakmurkan Masjid anjuran Yayasan Mesra Parlimen Kota Tinggi di Masjid Jamek Al-Raudah, Kampung Mawai, de­kat sini malam tadi.

Pada majlis berkenaan zakat perniagaan Koperasi Pembangunan Kampung Tersusun Kampung Mawai Baru Berhad berjumlah RM8,600 turut diagihkan kepada 70 penerima terdiri daripada kalangan ibu tunggal dan golongan miskin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Mawai Baru merangkap Pengerusi Koperasi Pembangunan Kampung Tersusun Kampung Mawai Baru Bhd., Abdul Hamid Ibrahim; Penghulu Mukim Mawai Baru, Muhamad Zaini Musa; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mesra, Fazli Buyung dan Naib Ke­tua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaidee Makmor. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Mesra Kota Tinggi © 2014