Tuesday 30 June 2015

Batu geliga punyai sakti mampu keluarkan cahaya.?

Tuesday 30 June 2015|10:00
Orang ramai khususnya warga emas di Johor  dinasihati agar tidak terpedaya dengan taktik pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan melalui aktiviti menjual batu geliga yang didakwa 'sakti' dan bernilai tinggi.
 
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, batu geliga yang didakwa mengeluarkan cahaya berkenaan hanyalah batu geliga palsu yang direka supaya dapat mengeluarkan cahaya apabila bertindak balas kepada air bagi membolehkan mangsa  yakin terhadap 'kuasa' batu berkenaan.
 
"Taktik yang digunakan kumpulan ini memang licik apabila batu itu juga diletakkan di dalam sejenis bekas antik yang menjadikan ia seolah-olah berharga," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
 
Rahmat berkata, modus operandi kumpulan ini ialah mangsa akan diyakinkan suspek pertama sebelum menghubungi rakannya yang dikatakan pakar dalam hal tersebut dan menawarkan harga yang tinggi.
 
"Namun suspek pertama hanya mahu menyerahkan batu geliga itu kapada mangsa sahaja dengan hanya perlu membayar seberapa banyak wang yang ada dalam akaun Tabung Haji selain wang yang ada pada mangsa.
 
"Setelah menyerahkan kesemua wang, mangsa akan didatangi seorang lelaki lain (suspek) yang ingin menawarkan harga yang lebih tinggi dan akan berjumpa selepas Zohor di tempat yang sama tetapi setelah menunggu suspek ketiga ini tidak muncul, baru mangsa sedar dia telah ditipu," kata beliau.
 
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
 
Khamis lalu, seorang warga emas berusia 69 tahun dari Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, kerugian kira-kira RM11,600 apabila terpedaya oleh kumpulan yang didalangi tiga suspek yang mendakwa mereka mempunyai batu geliga 'sakti'. - Bernama

Mesra Ramadhan, Memakmurkan Masjid

|06:30
Sejumlah RM26,000 nilai bantuan diagihkan kepada 130 ketua keluarga fakir miskin sekitar Kampung Mawai dekat sini sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Yayasan Mesra yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berkata, sumbangan itu bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Beliau berkata, program tahunan itu bertujuan menyampaikan barangan keperluan seperti beras, minyak masak dan keperluan dapur bernilai kira-kira RM50 serta wang tunai RM150.

“Meskipun nilainya tidak seberapa tetapi ia cukup memberi kegembiraan kepada mereka yang menganggap sebagai ‘rezeki Ramadan’,” katanya kepada pembe­rita selepas merasmikan program Mesra Ramadan, Memakmurkan Masjid anjuran Yayasan Mesra Parlimen Kota Tinggi di Masjid Jamek Al-Raudah, Kampung Mawai, de­kat sini malam tadi.

Pada majlis berkenaan zakat perniagaan Koperasi Pembangunan Kampung Tersusun Kampung Mawai Baru Berhad berjumlah RM8,600 turut diagihkan kepada 70 penerima terdiri daripada kalangan ibu tunggal dan golongan miskin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Mawai Baru merangkap Pengerusi Koperasi Pembangunan Kampung Tersusun Kampung Mawai Baru Bhd., Abdul Hamid Ibrahim; Penghulu Mukim Mawai Baru, Muhamad Zaini Musa; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mesra, Fazli Buyung dan Naib Ke­tua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaidee Makmor. – BERNAMA

Saturday 27 June 2015

Karnival Pelancongan Desa Meriah

Saturday 27 June 2015|13:30


KOTA TINGGI 18 Jun – Suasana di Legaran Tanah Putih, Tanjung Sedili, dekat sini meriah apabila dibanjiri lebih 3,000 orang yang mengunjungi Karnival Pelancongan Desa baru-baru ini.

Pengerusi program, Mohd. Fai­zam Mohd. Sebalas berkata, selain kehadiran komuniti setempat, program itu turut menyediakan pelbagai gerai pameran oleh agensi kerajaan dan swasta serta jualan makanan dan minuman termasuk pertandingan memancing, futsal, mewarna, sukaneka dan senaman zumba.

“Berbanding tahun sebelumnya, buat pertama kali diadakan permainan Street Shuttle ciptaan anak tempatan yang dipertandingkan dan pada masa ini menjadi kegilaan golongan remaja di sini.

“Lebih menarik karnival ini bukan sahaja dikunjungi orang ramai, malah diserikan dengan penampilan istimewa dua artis terkenal ta­nah air, iaitu Ani Mayuni dan Erry Putera yang membuat persembahan pada malam kemuncak karnival tersebut,” katanya.

Mohd. Faizam memberitahu, karnival itu dianjurkan bertujuan merapatkan hubungan, seterusnya memberi pelbagai maklumat tentang aktiviti perniagaan, perkhidmatan dan pelancongan di kawasan setempat.

“Pengunjung bukan sahaja berpeluang menyertai pelbagai acara yang disediakan, malah yang paling utama membuka peluang dan ruang kepada masyarakat khususnya pengunjung mengenali Legaran Tanah Putih sebagai lokasi aktiviti pelancongan yang ada di sini de­ngan lebih dekat.

“Selain mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bahagian Pelancongan, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), penganjuran kanival ini dibantu jawatankuasa Gerakan Desa Wawasan (GDW) Kampung Sentosa, Mini RTC Tanjung Sedili, GiatMara Tanjung Sedili, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Tinggi serta masyarakat,” katanya.
Karnival dua hari itu dirasmikan oleh Ahli Prlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid.

Yang turut hadir, Pengurus Bahagian Pelancongan Kejora, Rosli Salim; Penghulu Mukim Sedili Besar, Mohd. Aidil Masek dan Pengerusi GDW Kampung Sentosa, Mohd. Sebalas Mohamad. – Utusan

Jangan Jadi Penyebar Maklumat Salah

|10:00


KOTA TINGGI 17 Jun – Masyarakat diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan ancaman besar menerusi maklumat yang mudah diperoleh melalui teknologi canggih pada masa ini.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Haron Narrashid berkata, maklumat tersebar dengan pantas malah ada antaranya susah untuk ditapis sehingga masyarakat tidak tahu yang mana betul atau tidak.

Menurutnya, maklumat yang diterima boleh jadi maklumat yang betul dan dalam masa sama juga boleh jadi fitnah.

“Inilah yang kita khuatirkan, anak-anak kita mungkin cerdik tetapi kita bimbang mereka menerima maklumat yang tidak betul.

“Malah kita sendiri tidak tahu apa maklumat yang diterima anak-anak kita. Oleh itu, janganlah kita jadi penyebar sesuatu maklumat yang tidak sahih,” katanya semasa merasmikan Program Kelas Tahsin dan Bimbingan Imam-Imam di Masjid Felda Simpang Waha, dekat sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM64,000 kepada 28 masjid dan 36 surau yang terdapat dalam kawasan Parlimen Kota Tinggi bagi menjalankan aktiviti sepanjang Ramadan ini.

Yang turut hadir Pegawai Penyelaras Pentadbiran Masjid dan Surau Daerah Kota Tinggi, Ahmad Sudar; Ketua Kampung Felda Simpang Waha, Ab. Rahim Tasrip dan Ketua UMNO cawangan Felda Simpang Waha, Paimin Juraimi. – Utusan

Friday 26 June 2015

Warga Kota Tinggi Jangan Tercicir Rebut Peluang Pembangunan Di Pengerang

Friday 26 June 2015|08:00

KOTA TINGGI, 6 Jun- Penduduk Kota Tinggi akan menerima tempias projek pembangunan di Pengerang sekiranya cadangan bagi pembinaan jalan empat lorong daripada Bandar Penawar ke Kampung Makam dapat direalisasikan pada RMK 11 sebagai pemangkin pembangunan di Kota Tinggi.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata, ia tidak mustahil jika waktu perjalanan daripada kawasan tersebut dapat disingkatkan daripada 90 minit kepada 45 minit.
Beliau yakin penjimatan waktu perjalanan untuk ke Pengerang bakal memberi impak besar buat penduduk di Kota Tinggi.
“Harapan kita dengan pembinaan jalan empat lorong ini Kota Tinggi tidak akan terasing dengan pembangunan bersepadu minyak di Pengerang. Kita tidak mahu warga Kota Tinggi tidak dapat manfaat pembangunan itu. “
Melalui pembangunan ini jugak akan memberi limpahan kegiatan ekonomi kepada penduduk tempatan dari segi  peluang – peluang pekerjaan, keusahawanan dan mampu menaikkan taraf sosi0 ekonomi penduduk tempatan secara sekata dan merata.
Beliau juga mengingatkan agar penduduk Kota Tinggi bersiap sedia menghadapi kepesatan pembangunan ekonomi tersebut agar tidak ketinggalan dalam menikmati limpahan sosio ekonomi tersebut.
“Manfaat pembinaan jalan ini juga boleh diterima penduduk di Tenggara dan Mersing,” katanya.
Mesra Kota Tinggi © 2014