Tuesday, 14 April 2015

500,000 bakal dapat manfaat dari Institut Kepimpinan Putra (PLI)

Tuesday, 14 April 2015|08:37

Seramai 500,000 peserta khususnya penduduk luar bandar bakal menerima manfaat melalui pelbagai latihan yang ditawarkan khusus­nya dalam bidang keusahawanan dalam masa setahun di Institut Kepimpinan Putra (PLI) Kota Tinggi, di sini.

Institusi yang baru dilancarkan hari ini itu bukan sahaja memberi latihan dan bimbingan berbentuk teori, malah mereka akan turut memantau pelaksanaan program-program diadakan.

Pengarah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Johor, Dr. Mohd. Azlan Ab. Jalil berkata, PLI Kota Tinggi merupakan PLI pertama beroperasi di Malaysia dan model digunakannya telah menarik minat beberapa negeri lain iaitu Pahang, Perak dan Kedah.

Katanya, PLI merupakan sebuah institusi kepemimpinan dan pembelajaran yang memberikan ilmu pengetahuan berguna kepada pesertanya secara percuma melalui kerjasama dengan RTC Johor di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“PLI bertujuan untuk memba­ngunkan transformasi minda rakyat kepada masyarakat kelas pertama melalui pembangunan modal insan dalam bidang keusahawanan.

“Antara kemudahan yang terdapat di sini termasuklah menyelaras dan menyediakan pelbagai kursus, program latihan, seminar, persidangan dan sebagainya,” katanya yang ditemui semasa menghadiri majlis Pemuafakatan Rakan Strategik RTC Johor dan Pelancaran PLI Kota Tinggi.

Mereka yang berminat untuk turut serta dalam kursus anjuran PLI boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sosial mereka.

Antara kursus disediakan di PLI termasuklah aspek kepemimpinan, ekonomi, pertanian, perikanan, pastri serta bidang kreatif.


No comments:

Post a Comment

Mesra Kota Tinggi © 2014