5hb Febuari 2015 ,
Mersing: Dua kakitangan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) maut selepas dua kenderaan pacuan empat roda milik agensi itu bertembung di Kilometer 19, Jalan Penyambong, Tanjung Resang-Air Papan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, dua penumpang, masing-masing dalam kenderaan terbabit turut parah. Mangsa yang maut dikenali sebagai Raden Benney RS Tenwidjaja, 53, bertugas di Kem PLKN Ulu Pari, Negeri Sembilan dan Ismail Muhamat, 57, dari Kem PDS Resort, Post Dickson, Negeri Sembilan.
Dua yang parah ialah Timbalan Komandan Kem PLKN Ulu Pari, Mejar (B) Abdul Aziz Abdul Wahab, 59, dan Mohd Yusuf Ishak, 44.
Kem Komander PLKN Seri Pekasa, Mantin, Negeri Sembilan, Mohd Nazri Abdul Wahid, berkata, Mohd Yusuf baru menghantarnya ke kem PLKN Teluk Sari, Endau, di sini, untuk menghadiri mesyuarat sebelum keluar minum bersama Ismail.
“Saya terkejut dimaklumkan dia terbabit kemalangan dan cedera parah. Saya doakan dia selamat,” katanya ketika ditemui di Hospital Mersing, di sini, semalam.
Ismail yang memandu kenderaan itu dari arah Air papan, dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum bertemung dengan kenderaan dipandu Raden Benney. Dua jentera dari balai Bomba dan penyelamat Mersing dan Endau bersama 15 anggota diarah ke tempat kejdian selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.58 pagi.
Menurut jurucakap bomba, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam dua kenderaan itu. Abdul Azizi di bawa ke Hospital Mersing manakala Mohd Yusof yang patah kaki kanan dan cedera di dada dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan M Kumar mengesahkan kejadian dan menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
No comments:
Post a Comment