Friday 11 March 2016

Tindakan Rafizi kelirukan Dewan Rakyat dan orang ramai harus disekat - Ahli Parlimen Kota Tinggi

Friday 11 March 2016|13:43

10 MAC : Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli sengaja cuba mengelirukan ahli Dewan Rakyat dan orang ramai apabila memberikan fakta kewangan yang tidak sesuai untuk menggambarkan kelemahan pengurusan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) .
Sedangkan hakikatnya agensi itu kata ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, saban tahun memberikan pulangan dividen yang positif kepada setiap pelaburnya.

“Dalam perniagaan memang ada untung, memang ada rugi, mana ada sentiasa untung sahaja, tapi yang pastinya tiap petanda aras tiap-tiap tahun kita bagi dividen yang baik, bermakna tiap-tiap tahun Tabung Haji ada keberhasilannya yang baik, kita mampu bagi.

“Tapi apa yang Pandan cuba lakukan adalah contohnya dalam 50 portfolio, ada 10 yang rugi tapi 40 yang untung dia tak cakap, sebab itu saya kata dia cuba kelirukan dewan,” katanya kepada BNBBC.my.

Terdahulu, Rafizi sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang Di Pertuan Agung di Dewan Rakyat berkata, dividen Tabung Haji kepada pendeposit meningkat kerana berlaku penambahan bilangan pendeposit setiap tahun dan bukan kerana keuntungan pelaburan TH sendiri.

Perkara itu bagaimanapun diselar Ahli Parlimen Kota Tinggi , Datuk Ehsan kerana Laporan Kewangan TH setiap tahun jelas menunjukkan butiran fakta yang cuba dikelirukan Rafizi iaitu berlaku pertambahan bilangan pendeposit dan begitu juga keuntungan pelaburan TH.

Ini kerana TH dalam pengumumannya sebelum ini melaporkan sebanyak RM3.23 bilion dividen dan bonus telah diagihkan kepada pendeposit dan daripada jumlah tersebut, kadar dividen kepada pendeposit tahun 2015 adalah sebanyak 5 peratus, sementara tambahan bonus haji sebanyak 3 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji.

Cubaan Datuk Ehsan untuk memperincikan butiran hujah beliau bagaimanapun diganggu Ahli Parlimen PKR Kapar, Manivanan Gowind yang sengaja membuat kecoh bagi mengalih tumpuan dan perhatian daripada penjelasan yang cuba dibuat.

Apa yang menarik bagaimanapun ialah hakikat bahawa Rafizi mengakui memiliki sejumlah wang simpanan dalam TH dan sehingga kini tidak bertindak untuk mengeluarkannya, sekaligus tindakan beliau jelas mengiktiraf keupayaan pengurusan kewangan TH, berbanding cubaan nakal beliau untuk mengelirukan rakyat.

“Rafizi betul-betul cuba kelirukan dewan, kalau lihat isu yang dulu, dia cakap cincin RM24 juta, lepas tu kata dia bergurau, tapi 3 tahun orang memfitnah, jadi kita tak nak dia mengelirukan dewan ni, dia cuba kelirukan, kita tak mahu anak-anak kita terdedah kepada pemikiran yang buruk dan tak membantu dan rosakkan orang lain dimana pemimpin sanggup buat apa sahaja asalkan matlamat tercapai.

“Lama-lama anak akan terkeliru dan buat pertimbangan yang tak baik di masa hadapan,” ujar Datuk Ehsan lagi sambil menambah bahawa perlakuan serta tindakan mengelirukan Rafizi di dalam dewan yang ditonton mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) perlu disekat bagi mengelak kekeliruan dan persepsi negatif terhadap kerajaan.




No comments:

Post a Comment

Mesra Kota Tinggi © 2014