Wednesday 13 May 2015

Dua beradik cedera teruk semasa hendak memansskan hidangan sarapan pagi.

Wednesday 13 May 2015|07:51

KOTA TINGGI – Hasrat dua beradik yang mahu bersarapan bersama terbantut apabila kedua-duanya cedera selepas dapur rumah mereka di Kuarters Majlis Daerah, Jalan Tun Habab di sini, terbakar, kelmarin.

Difahamkan ketika kejadian kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan kakaknya berumur sembilan tahun hanya tinggal berdua di rumah manakala bapa mereka keluar menghantar ibu ke tempat kerja.

Ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada jam 9.07 pagi sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi sampai di lokasi empat minit kemudian.

“Berdasarkan maklumat awal, kebakaran dipercayai berlaku semasa ketiadaan ibu bapa mangsa. Mangsa memberitahu ada menghidu bau  busuk (dipercayai bau kebocoran gas) namun mangsa yang tidak mengetahui apa-apa bertindak memanaskan hidangan yang berada di atas dapur.

“Tindakan itu menyebabkan api menyambar kanak-kanak terbabit mengakibatkan si kakak melecur di bahagian muka, rambut dan tangan manakala adiknya melecur di bahagian bibir dan rambut,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya difahamkan sebelum kejadian ibu mangsa yang sudah menyiapkan sarapan sebelum keluar bekerja turut meninggalkan pesan kepada kedua-dua anaknya supaya makan sarapan disediakan di atas dapur setelah bangun tidur. 

"Kakak mangsa yang pada awalnya mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT) telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana mengalami melecur 30 peratus di bahagian muka.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi pihaknya mendapati pintu besi rumah sudah dibuka dan kedua-dua mangsa sudah dibawa ke HKT oleh jiran .

“Kebakaran yang berlaku melibatkan alat perkakas memasak iaitu dapur gas dua penunu dan kabinet dapur. Kesan dari kebakaran itu juga telah mengakibatkan kesan jelaga di dinding dapur.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian yang dialami keluarga ini,” katanya.

Sumber : #sinar

Mesra Kota Tinggi © 2014